NOTA PENERANGAN " SESI PENERANGAN DAN MUAFAKAT WARIS " (SPMW)

NOTA PENERANGAN  " SESI PENERANGAN DAN MUAFAKAT WARIS "  (SPMW)

SESI PENERANGAN DAN MUAFAKAT WARIS (SPMW)

Sila baca nota berikut sebelum menghadiri sesi SPMW untuk pastikan semua yang hadir faham dan mudah untuk bermuafakat.

 

Mypusaka mengunakan kaedah SPMW untuk memulakan proses urus pusaka dan telah berjaya menyelesaikan dengan baik banyak kes pusaka termasuk yang rumit dan yang telah tergantung lama.

 

OBJEKTIF SPMW

·         Memberi kefahaman asas kepada semua waris tentang Faraid, proses urus pusaka dan perundangan berkaitan pusaka.

·         Persetujuan di antara waris untuk melantik pemohon pusaka.

·         Persetujuan di antara waris untuk melantik pentadbir dan penjaga harta, jika perlu.

·         Persetujuan di antara waris untuk mewariskan harta pusaka yang ditinggalkan arwah.

·         Persetujuan di antara waris kaedah pembiayaan kos berkaitan dengan urus pusaka.

 

ASAS FARAID

·         Apa sahaja harta yang diperolehi dan dibelanjakan oleh seseorang semasa hidupnya, adalah hak mutlaknya dan tidak boleh dipertikaikan oleh waris-warisnya selagi dia melaksanakan tanggungjawabnya kepada keluarga.

·         Setelah seseorang itu meninggal dunia, semua harta atas namanya akan menjadi pusaka dan perlu diuruskan oleh waris- warisnya.

·         Sebelum waris-waris mendapat hak terhadap pusaka tersebut, terdapat 7 perkara yang perlu dipertimbangkan:

1.       Sekiranya ada harta yang telah dihadiah/sedekah/hibah semasa hidupnya, ia terkeluar dari senarai pusaka.

2.       Sekiranya ada harta yang dipegang sebagai Amanah bagi pihak orang lain, juga terkeluar dari senarai pusaka.

3.       Perbelanjaan berkaitan pengurusan jenazah boleh diambil dari harta simati.

4.       Sekiranya simati ada hutang dengan Allah seperti Zakat, Fidyah, Haji, waris wajib lunaskan menggunakan harta yang ditinggalkan.

5.       Sekiranya simati ada hutang dengan manusia atau kerajaan, waris wajib lunaskan menggunakan harta yang ditinggalkan.

6.       Pasangan kepada simati (Isteri atau suami) boleh menuntut harta sepencarian dan Isteri kepada simati boleh menuntut nafkah sepanjang edah (4 bulan 10 hari). Tuntutan ini boleh dibuat melalui Mahkamah Syariah atau melalui muafakat waris dengan bantuan pakar.

7.       Sekiranya simati ada berwasiat untuk memberikan sebahagian hartanya kepada bukan waris atau untuk tujuan sedekah/waqaf, dan nilainya tidak melebihi 1/3 dari nilai keseluruhan hartanya, wasiat tersebut wajib dilaksanakan.

·        Setelah 7 perkara di atas diambil kira, bakinya menjadi hak waris faraid. Namun waris-waris ini boleh mencapai 4 muafakat berbeza.   Sebelum mencapai muafakat, semua waris perlu maklum kadar hak masing-masing dan nilai pusaka yang ditinggalkan.



·         4 muafakat yang boleh dicapai adalah:

 

1.       Seorang waris melepaskan haknya kepada waris lain dengan redha tanpa sebarang pampasan  (Contoh: Anak melepaskan hak terhadap rumah arwah ayah kepada emak dengan redha).

2.       Seorang waris melepaskan haknya kepada waris lain dengan menerima pampasan  (Contoh: Abang  melepaskan hak terhadap kereta arwah ayah kepada adik setelah menerima pampasan yang dipersetujui).

3.       Semua waris boleh mencapai persetujuan kadar pembahagian tertentu (Contoh: untuk duit ASB, semua waris setuju untuk bahagi sama rata).

4.       Semua waris mencapai persetujuan pembahagian mengikut kadar faraid (Contoh: Akaun Tabung Haji arwah akan dibahagikan mengikut kadar faraid).

 

Perkara yang sangat penting untuk dihayati oleh semua waris:

·         Pusaka tersebut adalah titik peluh arwah, waris perlu bantu agar pusaka tersebut menjadi bekalan arwah di akhirat.

·         Semua waris perlu bekerjasama dan berlapang dada untuk pastikan pusaka tersebut dapat dipanjangkan manfaatnya, dan bukan menjadi punca sengketa dan perpecahan keluarga.

·         Jadikan harta pusaka sebagai modal untuk mengingati simati. Kita sebagai insan yang masih hidup ada banyak cara untuk mengumpul harta, bukan sepenuhnya mengharapkan kepada pewarisan pusaka.

·         Urusan pusaka harus dibuat dengan berpandukan hukum syarak dan perundangan negara. Sangat dianjurkan urusan pusaka dibuat dengan bantuan khidmat pakar supaya prosesnya teratur dan kesudahannya baik.

 

Kami di MyPusaka bersama mendoakan agar urusan pembahagian pusaka ini berjalan dengan lancar, tiada siapa yang termudarat dan tiada siapa yang berdosa kerana mengambil hak orang lain tanpa keredhaannya.

 

SEMOGA BERMANFAAT




SKOP PERKHIDMATAN MYPUSAKA















PAUTAN KE KOMUNITI DIGITAL PEWARISAN "MYPUSAKA.ONLINE"

FACEBOOK MYPUSAKA

YOUTUBE MyPusakaOfficial

PLAYLIST "KEFAHAMAN SOLUSI PUSAKA"

PLAYLIST "KULIAH PUSAKA"

PLAYLIST "KELAS PUSAKA"

PLAYLIST " VIDEO PENDEK KISAH BENAR PUSAKA"

PLAYLIST " PERKONGSIAN ILMU DARI TUAN KAMARUL AZMAN"


PUSAKA KUDS SDN BHD

No 7-1, Alpinia Retail Avenue, Desa Chempaka, Jalan BBN 6/3, 71800 Putra Nilai, Negeri Sembilan

010-513 7053 (Jabatan Korporat Tel/Mesej)

bantuan@mypusaka.online (Email)